Seramai 3 orang student yang diwakilkan di bawah Dr. Noor Hazlina Ahmad datang berjuma saya untuk mengetahui penglibatan saya didalam industri tanaman cendawan ini. Student2 tersebut adalah Noor Salwa Binti Nayan (Pahang), Dayang Syarmi Eryani Binti Ag Arshad (Sabah) dan Yuhana Endys Saputeri (Indonesia).
Mereka meluangkan hampir sehari bagi menyelami dunia penanaman cendawan. Mereka juga menjalani latihan praktikal dan berpeluang mengutip cendawan di Ladang Cendawan. Harap segala ilmu yang saya telah curahkan kepada mereka ini akan mendatangkan manfaat kepada mereka bertiga dan juga kepada semua student School of Management. Insyaallah.....
Mereka juga berbesar hati e-mail kepada saya salinan paper projek yang telah mereka siapkan. TQ....
SCHOOL OF MANAGEMENT
SEMESTER 2, ACADEMIC SESSION 2009 / 2010
AOW357- KEUSAHAWANAN
LECTURER NAME: DR. NOOR HAZLINA AHMAD
“MASDIANA MUSHROOM”
Tutorial : Monday, 4-5pm
GROUP NAME : NOOR SALWA BINTI NAYAN 96177
: DG SYARMI ERYANI BINTI AG ARSHAD 96088
: YUHANA ENDYS SAPUTERI 99149
1.0 LATAR BELAKANG PERNIAGAAN USAHAWAN
Masdiana merupakan seorang pengusaha cendawan. Dia berumur 29 tahun dan dia telah berkahwin. Masdiana merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik. Dia berasal dari Pulau Pinang. Masdiana memiliki lulusan diploma di Universiti Teknologi Malaysia (UITM), Perak. Dia seterusnya melanjutkan pelajaran pada peringkat ijazah (Bachelor of Estate Management) dengan kepujian, di Universiti Teknologi Malaysia (UITM), Shah Alam. Usaha ini mendapatkan bantuan daripada suaminya iaitu Khairi. Suaminya memiliki ijazah (Bachelor of Land Admin) di Universiti Teknologi Malaysia, (UTM) Skudai, Johor. Suaminya berumur 32 tahun. Suaminya berasal dari Sungai Petani, Kedah.
Masdiana memiliki dua cawangan hasil daripada perniagaan cendawannya. Cawangan yang pertama terletak di F294, kampong Belau,Merbok, Kedah dan cawangan kedua terletak di No. 7 & 8, Lot 381, Kampung Sungai Mati, Matang, Perak. Sebelum dia menceburi bidang perniagaan cendawan ini, penanaman cendawan ini adalah sekadar hobi daripada suaminya. Pada mulanya, perniagaan ini hanya diusahakan oleh suaminya sahaja, namun dalam kuantiti yang sedikit tanpa memasarkan secara meluas. Setelah itu, perniagaan ini hampir mengalami kerugian dan suaminya mengambil keputusan untuk menamatkan usahanya bagi meneruskan perniagaan cendawannya. Masdiana tidak bersetuju dan dia mengambil keputusan untuk mengambil alih perniagaan tersebut dan menguruskannya sendirian. Dia memulakan semula perniagaan ini hasil daripada wang simpanannya sendiri dengan modal pertama iaitu sebanyak RM 3,000. Masdiana memulakan perniagaan ini tanpa memiliki sebarang pengetahuan tentang cendawan (start from zero). Hasil daripada usaha gigihnya, dia berjaya menubuhkan dua pusat cawangan penanaman cendawan. Di cawangan Merbok terdapat tiga blok rumah cendawan yang telah didirikan Masdiana. Dalam satu blok bangunan tersebut boleh memuatkan 15,000 beg media cendawan. Hasil daripada pembinaan tiga bangunan cendawan tersebut boleh memuatkan 45,000 beg media cendawan.
Cendawan merupakan sejenis kulat yang dibahagikan kepada dua jenis iaitu cendawan yang mengandungi racun dan cendawan yang boleh dimakan. Cendawan mempunyai banyak protein, vitamain, dan zat-zat galian seperti kalsium, dan fosforus yang penting untuk kesihatan badan. Cendawan dipercayai mengubati pelbagai penyakit seperti anemia (kekurang darah), kencing manis, dan sengal-sengal sendi. Terdapat 15 jenis cendawan yang boleh di tanam di Malaysia. Cendawan juga didapati mempunyai kandungan protein yang tinggi serta karbohidrat, serat, vitamin, dan kandungan lemak yang rendah berbanding sayuran yang lain. Antaranya adalah Cendawan Tiram Kelabu, Cendawan Tiram Putih, Cendawan Tiram Kuning, Cendawan Abalone, Cendawan Jerami, Cendawan Ling Zhi, Cendawan Jarum Mas, Cendawan Telinga Kera, Cendawan Tiram Merah Jambu, Cendawan Bunga Kobis, Cendawan Shiitake, Cendawan Butang, Cendawan Kukur atau Sisik, Cendawan Berangan, dan Cendawan Peha Ayam.
“Masdiana Mushroom” merupakan pengeluar dan pembekal cendawan segar, bongkah cendawan yang telah disuntik benih, dan peralatan penanaman cendawan iaitu penutup dan leher PVC, Plastik, benih cendawan, serta beliau juga merupakan perunding dan membuka perkhidmatan nasihat berkaitan dengan perniagaan cendawan. “Masdiana Mushroom” hanya mengeluarkan Cendawan Tiram Kelabu. Hal ini kerana Cendawan Tiram Kelabu sedap rasanya dan tahan disimpan serta mendapat sambutan yang cukup menggalakan dipasaran. Bahan dan media untuk menanam Cendawan Tiram Kelabu mudah didapati dan murah. Cendawan ini juga mudah tumbuh dan dibiakkan serta benih cendawan ini mudah didapati.
Masdiana mempunyai dua orang pekerja sepenuh masa di cawangan Merbok, kedah, dan tiga orang pekerja sepenuh masa di cawangan Taiping, Perak. Selain itu, Masdiana memiliki ramai pekerja separuh masa bagi meyiapkan kerja-kerja dibahagian yang tidak memerlukan tenaga yang banyak, seperti mencabut cendawan yang sudah matang daripada media beg, mengukus media beg, namun bagi penyuntikan benih cendawan tiram kelabu hanya dilakukan oleh Masdiana sendiri bersama suaminya. Hal ini kerana penyuntikan cendawan memerlukan kepakaran dan pengalaman yang baik. Masdiana pernah mengalami kerugian akibat kerosakan daripada penyuntikan benih yang salah, sehingga beliau terpaksa membuang hampir keseluruhan beg media cendawan. Perkara ini berlaku semasa dia terpaksa meninggalkan urusan perniagaannya kepada pekerja-pekerjanya sepenuhnya dan membenarkan pekerjanya melakukan aktiviti penyuntikan benih cendawan kerana dia dan keluarga pergi menunaikan Umrah di Mekah. Penyuntikan yang salah akan menyebabkan beg media cendawan dimasuki atau dicemari bakteria dan virus. Contohnya, beg media akan dicemari oleh kulat hijau, kulat oren, penyakit ulat, serangan hama atau kumbang hitam keatas cendawan, serta serangan makhluk perosak.
Selain itu, “Masdiana Mushroom” menggunakan bahan-bahan semula jadi (pure organic) bagi penanaman cendawannya tanpa dicemari oleh bahan-bahan kimia. Antaranya ialah harbuk kayu, dedak padi halus, kapur pertanian, beg plastik tahan panas, gegelang PVC, dan kapas. Hasil daripada menggukan bahan-bahan semula jadi ini, dia dapat menghasilkan cendawan yang berkualiti tinggi. Pengeluaran hasil cendawan yang berkualiti tinggi ini menyebabkan dia memiliki ramai pelanggan. Dia berjaya menarik perhatian lebih ramai pelanggan daripada pelbagai peringkat, seperti pemborong, orang awam, restoran, pengusahan cendawan kecil-kecilan dan sebagainya. Bagi cawangan Merbok, kedah, dia berjaya menjual hasil cendawannya 20-25 Kilogram sehari, namun masih tidak mencukupi kerana permintaan daripada pelanggan terlalu banyak, sehingga dia tidak dapat menyediakan cendawan yang mencukupi kerana permintaan terlalu banyak berbanding dengan pengeluaran cendawan yang terhad pengeluarannya.
“Masdiana Mushroom” bukan sahaja mengeluarkan cendawan segar, dia juga telah menghasilkan Tepung Berempah bagi menyalut cendawan goreng hasil daripada kreativitinya sendiri. Dia juga mengeluarkan kuih muih berdasarkan produk cendawan, seperti karipap berinti cendawan, popia berinti cendawan, dan cendawan goreng berempah. Selain itu, dia juga telah melakukan perancangan dan penyelidikan bagi menghasilkan ‘Cendawan Chip Berempah’. Masdiana telah membuat perancangan yang terperinci untuk mengkomersilkan kesemua produknya secara meluas di pasaran tempatan khususnya di Malaysia dan juga pasaran antarabangsa. Hal ini kerana, produk cendawan ini mempunyai peluang yang cukup luas dipasaran tidak kira dalam atau pun luar negara.
Bagi mengkomersilkan produk cendawan goreng berempah “Masdiana Mushroom” ini, dia telah mendapat tapak perniagaan hasil bantuan daripada Fama untuk membuka perniagaan Cendawan Goreng Berempah di Pasar Tani, Sungai Petani, Kedah. Masdiana hanya memiliki kesempatan membuka gerai cendawan goreng tersebut pada hari ahad sahaja. Pada mulanya, kebanyakan orang tidak mengetahui tentang Cendawan Goreng Berempah ini dan tidak mengetahui khasiat daripada cendawan ini. Oleh sebab itu, Masdiana membuat perancangan pemasarannya dengan mempromosikan dahulu produknya kepada orang ramai. Dia juga melaksanakan penelitian orang awam, dan memberikan orang awam bagi mencuba cendawan goreng berempah secara percuma. Gerai “Masdiana Mushroom” hanya dibenarkan menjual cendawan dan produk-produk berasaskan cendawan sahaja seperti karipap dan popia berintikan cendawan, cendawan segar, tepung goreng berempah khas untuk menggoreng cendawan dan yang paling diminati oleh orang awam kini adalah Cendawan Goreng Berempah. Setelah memasuki minggu ke-2, gerai “Masdiana Mushroom” telah dikunjungi ramai pelanggan bagi mendapatkan produk Cendawan Goreng Berempah ini. Ada juga yang membeli tepung dan cendawan segar daripada “Masdiana Mushroom” untuk cuba digoreng sendiri dirumah. Kini, masdiana berjaya menjual enam kilogram cendawan dalam masa tiga jam sahaja. Dia menjual cendawan goreng berempah ini dengan harga yang sangat berpatutan, iaitu RM 2.00 untuk satu polisterin rojak. Dia sangat bersyukur kerana sambutan bagi pemulaan penjualan cendawan goreng berempah ini sangat menggalakan.
“Masdiana Mushroom” menyediakan perkhidmatan latihan bagi penghasilan dan pemprosesan penanaman cendawan serta khidmat nasihat bagi menguruskan perniagaan cendawan supaya dapat berjalan dengan lancar.
2.0 PROSES PENANAMAN CENDAWAN “MASDIANA MUSHROOM”
Cendawan bukan sekadar tumbuhan yang mempunyai kandungan protein, karbohidrat dan serat yang tinggi berbanding sayuran lain, tetapi juga mampu memberi pulangan lumayan jika diusahakan secara komersial. Ada pelbagai jenis cendawan diusahakan oleh penanam cendawan iaitu Cendawan Tiram Kelabu, Tiram Putih, Telinga Kera, Abalone, Ling Zhi, Bunga Kobis, Jarum Emas dan Cendawan Butang yang sentiasa mempunyai pasaran dan penggemar negara ini. Ketika ini, ramai yang beranggapan proses menanam cendawan amat rumit, tetapi sebenarnya ia mudah serta senang dijaga dan dalam masa tiga bulan hasilnya sudah boleh dikutip atau diperolehi.
Menurut usahawan “Masdiana Mushroom” ini, penanaman cendawan ini tidak memerlukan pembinaan rumah cendawan baru yang spesifik. Lebih ekonomi jika menggunakan ruang-ruang sedia ada atau membuat sedikit penyesuaian seperti memasang jaring sebagai dinding dan paip untuk memudahkan kerja-kerja penyiraman. Ciri-ciri rumah cendawan yang baik ialah mempunyai pengudaraan yang baik, suhu yang sesuai dalam lingkungan 28 darjah Celsius hingga 30 darjah Celsius (28C-30C) serta perlu disiram sebanyak dua kali sehari. Rumah cendawan ini juga perlu kalis serangga atau perosak yang boleh menyebabkan cendawan rosak. Lantai simen perlu sentiasa bersih. Rumah cendawan tidak sesuai jika terlalu besar kerana sukar untuk mengawal pencemaran dan gangguan daripada perosak atau serangga. Ruang di antara satu rak dengan rak yang lain bagi meletakkan beg media cendawan perlulah mudah untuk dilalui dengan selesa bagi memudahkan pergerakan semasa memungut cendawan.
Bahan-bahan yang digunakan bagi proses penanaman cendawan ini ialah habuk kayu, dedak padi halus, kapur pertanian, beg plastik yang tahan panas, Gegelang PVC, dan kapas. Antara prosesnya ialah habuk kayu perlu ditapis dan diayak bagi mengasingkan benda-benda asing yang terdapat dalam habuk kayu. Habuk kayu, dedak padi dan kapur pertanian pada kadar 100:10:1 tadi perlu digaulkan sehingga sebati. Apabila campuran sekata, bahan-bahan tadi perlu dicampurkan dengan air sehingga campuran menjadi lembap dan perlu memastikan apabila dikepal ia tidak berderai.
Selain itu, penggunaan air tidak boleh terlalu banyak kerana biasanya ia akan melambatkan proses pergerakan maisilium. Namun, air yang terlalu sedikit akan menyebabkan pergerakan maisilium cepat tetapi risiko kerosakan adalah tinggi dan hasilnya juga sedikit. Campuran tadi perlu dimasukkan ke dalam beg plastik yang tahan panas bagi mengelakkan cendawan daripada mengalami suhu yang tidak sesuai atau berpatutan yang akan menyebabkan cendawan tidak mahu keluar.
Kemudian, bahan tadi perlu memampatkan atau menghentak campuran tadi sehingga menjadi sederhana padat. Beg media juga tidak boleh terlalu padat dan mampat kerana ia mempengaruhi pertumbuhan maisilium. Jika bahan-bahan tadi terlalu padat akan melambatkan pertumbuhan maisilium dan ini akan menyebabkan proses pengeluaran cendawan yang tidak cekap bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin banyak. Kepadatan yang sederhana adalah yang paling sesuai bagi pertumbuhan cendawan.
Seterusnya, beg media tadi perlu dipasangkan dengan gegelang PVC. Selepas selesai menyediakan beg media cendawan yang lengkap, beg media tadi perlu dikukus bagi tujuan membunuh segala organisma yang terdapat dalam habuk kayu supaya tidak berlaku pencemaran yang akan menyebabkan kerosakan kepada beg media cendawan. Bahan peralatan yang diperlukan bagi pengkukusan beg media cendawan ini ialah tong drum atau stimmer dan set dapur gas. Cara-cara bagi mengukus beg media cendawan ialah meletakkan pelapik seperti bata atau kayu dan jaring dawai ke dalam tong drum, kemudian perlu mengisikan air ke dalam tong drum bawah sedikit daripada pelapik tadi dan susun beg-beg media secara menegak ke dalam tong drum serta perlu di tutup rapat. Beg media cendawan perlu dikukus selama lapan jam bagi menghapuskan bakteria. Kemudian, beg-beg media ini perlu disejukkan selama 24-36 jam sebelum menjalankan kerja-kerja penyuntikan benih.
Selepas itu, beg media cendawan itu akan diperam kira-kira tiga bulan dan dalam tempoh itu, proses penyiraman perlu dilakukan dua atau tiga kali sehari pada lantai serta pada badan beg media cendawan bagi memberikan kelembapan dan mengekalkan suhu yang bersesuian dengan keperluan kelembapan cendawan kepada beg media cendawan tersebut.
Di samping itu, cendawan memerlukan cahaya yang lemah dan sekata, pertumbuhannya akan terbantut jika terkena sinaran matahari berlebihan dan bagi cendawan yang terkena penyakit perlu diasingkan supaya tidak merebak ke beg media cendawan lain. Selepas kira-kira tiga bulan spora akan terbentuk di dalam beg media cendawan dan mengembang memenuhi beg media itu. Penutup beg media akan dibuka dan cendawan akan mulai tumbuh kira-kira lima hari selepas penutup dibuka.
Setiap cendawan perlu dikutip sebelum bahagian tepinya kelihatan berombak dan selepas di kutip beg media cendawan perlu di tutup semula dan direhatkan selama tujuh hari sebelum di buka kembali untuk memudahkan proses pembentukan semula spora di dalam beg media cendawan itu.
Sejambak cendawan boleh mencecah 80 gram dan satu beg cendawan boleh dituai hasilnya sehingga lapan kali dalam tempoh empat bulan. Selepas itu, hasilnya akan berkurangan dan perlu membuat beg media cendawan yang baru. Cendawan yang dituai boleh disimpan kira-kira tiga hari di dalam peti sejuk. Menurut usahawan Masdiana, beg media cendawan yang tidak dapat mengeluarkan hasil lagi boleh dihancurkan untuk dijadikan baja organik.
3.0 MASALAH ATAU RISIKO YANG DIHADAPI OLEH “MASDIANA MUSHROOM” (KELEMAHAN DAN ANCAMAN)
Masalah yang pertama ialah beg media cendawan dijangkiti penyakit seperti virus dan bakteri. “Masdiana Mushroom” pernah mengalami masalah serangan kulat hijau pada beg media cendawan. Kulat Hijau ini boleh menjangkiti beg-beg media lain, selain ia juga sangat cepat membiak sehingga boleh melumpuhkan perusahaan cendawan. Menurut usahawan Masdiana ini, punca-punca yang menyebabkan kemunculan kulat hijau ialah habuk kayu getah, pengukusan yang tidak sempurna, kurang kapur pertanian, dedak padi yang terlalu banyak, dan serangan serangga perosak pada masa penyuntikan. Kulat hijau ini merupakan ancaman yang sangat bahaya kerana ia sering menjangkiti beg-beg media cendawan “Masdiana mushroom” ini.
Masalah kedua yang di hadapi “Masdiana Mushroom” ini ialah kualiti benih cendawan dan teknik penyuntikan yang salah. Masdiana menerangkan bahawa bagi mendapat benih cendawan yang berkualiti tinggi, usahawan cendawan perlu memastikan benih yang dibeli putih keseluruhannya dan tidak tercemar, menjauhi benih cendawan yang berair, kekuningan, wujud tompok-tompok selain warna putih, dan perlu memastikan benih (maisilium) tidak tebal kerana tebal tandanya sudah terlalu matang. Dia juga menjelaskan cara mengawal beg-beg media agar tidak mendapat kesan daripada teknik penyuntikan yang salah, usahawan cendawan perlu memastikan bilik suntik benih dan bilik penyimpanan benih dalam keadaan bersih. Selain itu, mereka perlu memastikan tiada sebarang udara dari luar rumah cendawan masuk semasa proses penyuntikan benih, penyuntik dalam keadaan bersih, dan peralatan yang digunakan untuk menyuntik terhidar daripada kulat. Mereka juga perlu menghalang orang lain daripada masuk ke dalam bilik suntik benih semasa proses penyuntikan, dan yang terakhir perlu memastikan benih yang digunakan tidak tercemar.
Masalah ketiga ialah persaingan pengusaha cendawan yang berasal dari Thailand mahu pun dari Malaysia sendiri. Bagi kawasan Utara Malaysia seperti, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, dan Perak, mereka mengalami persaingan yang sengit daripada pesaing dari Thailand. Persaingan itu terjadi kerana harga yang yang ditawarkan oleh pengusaha cendawan Thailand jauh lebih murah daripada pengusaha cendawan tempatan. Bagi mengatasi masalah tersebut, “Masdiana Mushroom” telah mengambil langkah dengan bijak iaitu mencari pasaran secara langsung kepada pembeli, dia tidak mengharapkan bantuan daripada orang tengah terus sebaliknya dia berusaha sendiri dengan mencari dan memasuki peluang yang ada. Ini merupakan salah satu faktor kejayaan perniagaan “Masdiana Mushroom”.
Masalah keempat ialah harga cendawan yang tidak dapat dikawal. Harga cendawan yang berbeza mengikut negeri dan cendawan tidak memiliki harga yang tetap. Hal ini menyebabkan pengusaha cendawan sering mendapat rungutan daripada pelanggan.
4.0 MOTIVASI UNTUK MEMULAKAN PERNIAGAAN
Motivasi ialah suatu proses untuk menggalakkan sesuatu tingkah laku supaya dapat mencapai matlamat-matlamat yang tertentu. Seseorang akan merasa terdorong untuk berjaya apabila ada sesuatu ataupun seseorang yang menyokongn dalam mencapai kejayaan. Sokongan yang kuat ini dapat mendorong kekuatan dan semangat yang kental bagi meningkatkan prestasi perniagaan atau kerjanya. Seorang usahawan harus memiliki motivasi dan mental yang kuat untuk memulakan suatu perniagaan.
Semasa Masdiana mula membuka perniagaan tersebut, dia mendapat pelbagai halangan dan cabaran. Namun, Masdiana mendapat kekuatan dan semangat hasil daripada sokongan serta galakkan daripada keluarga. Menurut masdiana sendiri, dia mendapatkan kejayaan seperti ini berkat sokongan daripada keluarga, terutama suaminya. Baginya, keluarga merupakan orang yang paling banyak memberikan sokong kepadanya semasa memulakan perniagaan ini. Dia mengakui bahawa suaminya telah membuatkan dia memiliki kekuatan untuk bertahan sehingga sekarang. Dia juga menyedari bahawa seandainya tidak ada sokongan yang kuat daripada suaminya, mungkin dia tidak akan dapat bertahan dan cekal dalam menangani masalah dan segala rintangan yang datang semasa dia menjalankan perniagaannya.
Selain itu, motivasi dapat dibangkitkan daripada dorongan diri Masdiana sendiri. Dia memiliki mental yang kuat untuk menghadapi apa pun masalah yang terjadi di “Masdiana mushroom” miliknya. Semangat yang dimiliki oleh Masdiana untuk mengeluarkan sesuatu produk tempatan yang berkualiti tinggi dan dia membuka perniagaan ini atas keinginan yang kuat untuk membantu orang-orang tempatan terutamanya yang berada di Merbok, Sungai Petani, Kedah. Dia sangat berkeinginan untuk membantu penduduk tempatan terutama penduduk di kampungnya agar memiliki pekerjaan atau tidak menganggur.
Seterusnya, Masdiana memiliki motivasi yang tinggi dalam melakukan sesuatu bagi mendapatkan hasil yang memuaskan. Oleh itu, “Masdiana Mushroom” cuba membuktikan melalui usahanya mengeluarkan produk yang berkualiti tinggi. Dia ingin membuktikan bahawa orang tempatan boleh mencipta sesuatu produk yang berkualiti dan dapat bersaing bersama dengan produk luar negara. “Masdiana Mushroom” menjual produk dengan harga yang murah dan ‘pure organik’ sehingga dapat menunjukkan prestasi yang baik apabila produknya bersaing dengan produk luar negara.
Di samping itu, Masdiana merupakan anak sulung dalam keluarganya. Hal ini membuatkan Masdiana seorang yang sangat berdikari dalam menjalankan dan menguruskan perniagaan ini kerana sikapnya yang tidak suka bergantung kepada orang lain dan ingin menjadi contoh tauladan yang baik kepada adik-adiknya. Dia tidak suka mengalah, contohnya, apabila dia telah memilih untuk membuka perniagaan ini, dia tidak akan pernah mengalah walaupun banyak halangan yang datang menguji tahap kesabaran Masdiana dalam menjalankan perniagaan cendawan ini. Masdiana mempunyai pendirian dan motivasi yang cukup tinggi iaitu dia tidak akan sesekali menoleh ke belakang kembali apabila telah melakukan sesuatu perkara atau pekerjaan. Baginya, setiap perkara yang telah dilakukan atau dimulakan perlulah diteruskan dan tidak akan sesekali mengalah dengan begitu mudah.
5.0 “MASDIANA MUSHROOM” MENDEFINASIKAN KEJAYAAN USAHAWAN
Menurut Masdiana, perniagaan yang berjaya adalah perniagaan yang berjaya mendapat tempat dihati pelanggan dan juga berjaya mendapat tempat di pasaran. Ini bermakna produk yang dipasarkan oleh mereka berjaya menarik perhatian para pelanggannya dan berjaya mendapat pelanggan yang setia kepada produk mereka. Bagi Masdiana, dia cuba membuat produknya daripada bahan semula jadi tanpa dicemari oleh bahan-bahan kimia, agar para pelanggannya mendapatkan kualiti yang terbaik, di samping tetap menjaga kesihatan pelanggan yang menggunakan produk keluaran perniagaannya. Inilah keunggulan daripada “Masdiana Mushroom”. Perniagaan yang dijalankan oleh Masdiana dapat berkembang dengan baik dan pesat sekali. Hal ini telah memberi peluang yang baik bagi Masdiana untuk mendirikan tiga blok lagi untuk meletakkan beg-beg media tersebut. Masdiana mendirikan tiga blok tersebut agar para pelanggannya tidak merasa kecewa dan dia dapat memenuhi permintaan pelanggannya.
6.0 CARA MENGUKUR KEJAYAAN MEREKA DALAM PERNIAGAAN
(KEKUATAN DAN PELUANG)
Masdiana mengukur kejayaannya dalam perniagaan cendawan ini melalui beberapa faktor seperti peningkatan produk cendawan segarnya dalam permintaan pelanggan. Hasil daripada permintaan pelanggan yang semakin bertambah menunjukkan kadar peningkatan yang sangat memberangsangkan bagi pengeluaran produk cendawan segarnya yang memerlukannya menyediakan lebih banyak pengeluaran cendawan segar serta memberi peluang kepadanya untuk meluaskan lagi empayer perniagaan cendawan segar “Masdiana Mushroom” di peringkat kebangsaan atau global.
Peningkatan yang sangat memberangsangkan dalam jumlah pelanggan tetap cendawan segarnya menjadikan perniagaan “Masdiana Mushroom” bertambah kukuh dalam pasaran tempatan kini dan dia kini semakin dikenali oleh kebanyakan pelanggan dan pemborong yang menggunakan atau menggemari cendawan segar keluaran “Masdiana Mushroom” ini. Perniagaan “Masdiana Mushroom” kini semakin menjadi sebutan kebanyakan pelanggan di bahagian Utara, Malaysia merupakan salah satu faktor dalam mengukur kejayaan mereka dalam bidang usahawan cendawan ini.
Selain itu, peningkatan pengeluaran dan penciptaan produk baru berasaskan cendawan menunjukkan perniagaannya kini berada dalam kelompok usahawan berjaya dalam menghasilkan sesuatu yang baru dalam era kemodenan dan negara sedang membangun yang melahirkan berjaya ramai usahawan tempatan yang mempunyai daya kreativiti dan inovasi yang tinggi. Dia berjaya mencipta tepung goreng berempah, kuih muih berasaskan cendawan, kerepek cendawan, dan sebagainya telah menjadi salah satu ukuran kejayaan dia dalam bidang perniagaan cendawan ini.
Seterusnya, melalui peningkatan dalam pemasaran produknya telah menjadikan produknya semakin dikenali dan mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dalam pasaran produk tempatan dan dapat menyaingi produk dari luar negara. Pengeluaran produk tempatan ini dapat membuka mata dan minda masyarakat bahawa produk tempatan tidak kurang juga hebatnya dan memiliki unsur dan bahan-bahan perisa yang selamat tanpa dicemari oleh bahan-bahan yang membahayakan kesihatan pengguna seperti bahan kimia yang sering digunakan oleh produk pesaing dari luar negara.
Di samping itu, Masdiana juga mengukur kejayaan perniagaannya apabila dia berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang awam dan penduduk setempat yang tidak memiliki pekerjaan sekali gus dapat mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan orang awam yang menjadi isu pada masa kini. Dia juga dapat memberikan pendapatan dan peluang kepada ibu tunggal yang kekurangan pendapatan bagi menampung kehidupan seharian mereka.
7.0 CIRI-CIRI USAHAWAN YANG PENTING UNTUK BERJAYA SEBAGAI SEORANG USAHAWAN
Prinsip utama yang di pegang oleh usahawan Masdiana selama ini ialah kesungguhan dan kemahuan yang membara yang melebihi segala-galanya. Kemahuan yang membara ialah (dorongan) emosi yang kuat untuk menggerakkan segala “jentera” dalam diri kita ke arah mencapai matlamat yang diimpikan. Ia juga akan membuat kita lebih dan mampu menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan demi kejayaan.
Untuk muncul sebagai usahawan yang dinamik, kita perlu membuat persediaan daripada segi mental, fizikal, emosi dan kerohanian. Sebagai seorang usahawan, kita terpaksa menghadapi pelbagai bentuk cabaran, halangan dan dugaan. Ia akan datang dalam pelbagai bentuk dan rupa yang akan mencabar diri, keimanan, keteguhan kita sebagai seorang yang bergelar usahawan.
Faktor lain yang tidak kurang pentingnya ialah seorang usahawan juga mereka perlu sanggup dan rela menjalankan sendiri, tanpa terpaksa berharap dan bergantung kepada orang lain. Usahawan harus mempunyai semangat yang kental, daya ketahanan, keberanian, kesanggupan menghadapi risiko, ciri-ciri ketabahan dan kesabaran. Mereka juga perlu mempunyai daya kepimpinan yang tinggi dengan ciri-ciri kepimpinan yang boleh diteladani, diikuti dan berupaya mempengaruhi sikap dan tingkah laku pekerja untuk bertindak dengan cemerlang demi mencapai matlamat yang ingin diingini.
Selain itu, Masdiana turut menekankan bahawa dalam bidang perniagaan ini kita harus mempunyai emosi yang stabil, boleh menahan segala kritikan atau makian daripada pelanggan dengan senyuman dan muka selamba serta boleh pula melupakan dalam masa lima saat.
Masdiana juga mengatakan bahawa perlu baginya melupakan dahulu niat untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada mana-mana institusi kewangan pada peringkat permulaan perniagaan. Kita perlu menghadapi cabaran dengan apa yang kita ada dan terus mencari jalan untuk mendapatkan sumber kewangan. Modal perniagaan yang pertama adalah diri kita sendiri.
Usahawan itu mempunyai sifat sentiasa inginkan kecemerlangan dalam usaha perancangannya. Itulah sebabnya dikatakan bahawa usahawan itu hidup bernafaskan kejayaan. Usahawan sentiasa ingin berjaya dan bersungguh-sungguh berusaha mencapai kejayaan.
Usahawan perlu bijak mengenal pasti peluang. Mereka sentiasa berkesempatan mengaut keuntungan atau peluang baru bagi memajukan perniagaannya. Keupayaan mengenal pasti peluang, merebut dan melaksanakannya adalah kualiti penting bagi seseorang usahawan berjaya.
Seseorang usahawan itu juga sentiasa mahu mengetahui sejauh mana dia berjaya melaksanakan tugasnya. Dia sentiasa mahu mendapatkan maklum balas mengenai dalam pencapaiannya. Maklum balas ini membolehkan dia merangka strategi baru atau strategi yang lebih mantap untuk memajukan perniagaan atau membuat keputusan penting dalam mengurus perniagaan.
Seterusnya, usahawan memerlukan seberapa banyak maklumat yang terkini dan berguna untuk membolehkan mereka merancang serta membuat keputusan dalam perniagaannya. Oleh itu, seorang usahawan sentiasa mencari maklumat terbaru dan menggunakan khidmat agensi sebaik mungkin.
Seseorang usahawan yang berjaya itu merupakan seorang yang kuat bekerja. Mereka sanggup melakukan kerja tanpa mengira masa. Ini dapat dilakukannya kerana mereka sukakan kerjayanya. Menurut Masdiana, dia sendiri bekerja tujuh hari seminggu tanpa ada cuti.
Seorang usahawan merupakan individu yang berinisiatif dalam membuat sesuatu pekerjaan atau tugasan tanpa perlu diarah atau dipaksa. Menurutnya lagi, seorang usahawan perlu mempunyai sikap proaktif dan giat berusaha untuk membangun serta menjayakan perniagaannya.
Sikap usahawan yang mempunyai daya melihat dan merebut peluang perlu ada untuk berjaya dalam perniagaan. Usahawan juga harus mempunyai kecekapan dalam mencari dan mengenal pasti peluang perniagaan yang wujud. Mereka perlu mempunyai berkemampuan untuk merebut peluang sama ada untuk memperluaskan pasaran, mendapatkan bantuan bagi kepentingan perniagaan dan lain-lain. Ciri-ciri ini menjadi faktor penting untuk menjadi seorang usahawan yang kejayaan dan daya tahan perniagaan. Kemampuan ini akan membantu usahawan pada peringkat permulaan perniagaan dan membolehkan hayat perniagaan yang berpanjangan.
Di samping itu, usahawan Masdiana juga menjelaskan bahawa sikap cekal dan tabah dapat dilihat melalui tindakan usahawan seperti tidak merasa jemu mencari jalan untuk mencapai matlamat tanpa mengalah serta sentiasa berusaha untuk mengatasi halangan yang boleh menyekat pencapaian matlamat kejayaan.
Usahawan sentiasa berhadapan dengan pelbagai risiko dan permasalahan. Contohnya, harga bahan mentah meningkat dengan tiba-tiba, pekerja tidak amanah, permintaan barang yang menurun, rungutan daripada pelanggan dan lain-lain lagi. Orang yang cekal tidak jemu berusaha untuk mencari penyelesaian terhadap masalah-masalah yang dihadapinya dan sanggup bangun semula walaupun pernah mengalami kegagalan.
Seseorang usahawan itu hanya boleh di anggap berjaya apabila dia telah mencapai kejayaan dalam tujuh aspek kehidupan utama iaitu mental, rohani, jasmani, kejaya, kewangan, keluarga dan kemasyarakatan.
8.0 RANCANGAN YANG DILAKUKAN DALAM MENGURUSKAN PERNIAGAAN
Menurut usahawan Masdiana, pemasaran adalah faktor yang paling penting baginya dalam menjayakan atau menguruskan perniagaan cendawannya dengan baik dan berkesan. Dalam bahasa yang paling mudah, pemasaran boleh diumpamakan sebagai jambatan yang menghubungi antara pembeli, pengguna, dan pemborong dengan sesuatu produk, perkhidmatan dan apa jua yang hendak ditawarkan serta dapat memperkenalkan produk mereka kepada pelanggan dan sekali gus dapat menawan hati pelanggan.
Menurut usahawan Masdiana, antara ciri-ciri strategi pemasaran yang berkesan mestilah mengambil kira faktor-faktor seperti mengkaji keperluan dan permintaan cendawan dari semasa ke semasa. Hal ini supaya mereka dapat menjangkakan keperluan penambahan dan pengurangan pengeluaran cendawan bagi pemasaran produk cendawan segar mereka di pasaran tidak berlebihan. Perkara ini dapat memudahkan pengurusan hasil dan pengeluaran produk cendawan segarnya. Apabila terdapat permintaan yang semakin tinggi bagi produk keluaran cendawan segarnya, mereka dapat membuat rancangan pengurusan yang lebih mantap dan meningkatkan produktiviti pengeluaran cendawan supaya permintaan cendawan daripada pelanggan dapat dipenuhi dan dapat diperbaiki segala kekurangan yang ada. Contohnya, Masdiana telah merancang untuk membina sebuah makmal cendawan berdekatan dengan bangunan cendawannya dan sedang dalam proses untuk menambah lagi bangunan atau rumah cendawan bagi menghasilkan lebih bayak pengeluaran cendawan segarnya di pasaran.
Selain itu, Masdiana turut menekankan bahawa bagi menguruskan perniagaan ini, mereka perlu mencari dan mendapatkan saluran pemasaran yang termudah supaya produk atau pengeluaran cendawan segarnya dapat dipasarkan dengan segera tanpa perlu menyimpan terlebih dahulu. Saluran pemasaran yang mudah seperti memasarkan produknya di pasar-pasar, kilang-kilang, restoran, melalui agen, dan sebagainya.
Usahawan Masdiana juga menguruskan perniagaannya dengan melakukan jualan dan promosi bagi menawar atau membeli “jiwa” pelanggan. Contohnya, dia mempromosikan produk cendawan goreng berempah hasil keluaran “Masdiana Mushroom” di pasar-pasar tani, kilang, dan di serata tempat yang dikunjungi oleh ramai pelanggan. Melalui kaedah ini, dia dapat menawan hati pelanggan untuk terus setia menggunakan produk cendawan segar keluaran perniagaannya sekali gus dapat memperkenalkan produknya dipasaran tempatan. Justeru itu, menurut usahawan Masdiana, peniaga atau usahawan wajar belajar keperluan atau perkara-perkara yang perlu bagi mengurus dan membeli emosi pelanggan. Budaya masyarakat setempat juga harus difahami dan dihayati.
Bagi mengekalkan hubungan dengan pelanggan usahawan atau peniaga harus mengingati nama pelanggan-pelanggan yang setia dengan produk keluarannya dan selalu memberikan senyuman kepada mereka agar hubungan yang terjalin akan bertahan dan berkekalan.
Seterusnya, usaha dalam melakukan promosi dan pengiklanan yang berkesan dalam usaha menyebaran maklumat produk wajar diberi pertimbangan dalam usaha promosi produk cendawan ini. Kaedah dan jenis promosi yang dilakukan haruslah efektif khususnya bagi mengurangkan kos pengeluaran. Pengiklanan melalui jaringan internet pada era kemodenan kini menjadi semakin penting dan memberi kesan yang cukup memberangsangkan kepada pengenalan produk mereka. Hal ini sekali gus telah memudahkan usahawan atau pengusaha dalam usaha pengurusan promosi dan pengiklanan produk cendawan.
Di samping itu, sebagai usahawan dan pengusaha cendawan, rancangan perniagaan yang lengkap dan berkesan menjadi satu kewajipan apabila ingin memulakan projek cendawan. Dalam rancangan perniagaan itu, perlu dimasukkan elemen yang disebutkan di atas. Kejayaan projek cendawan dan perniagaan nanti akan bergantung kepada bagaimana mereka mengendalikan pihak pengurusan dan sumber-sumber yang ada.
Kesimpulannya, strategi pemasaran yang berkesan mestilah berkeupayaan untuk menghebohkan produk atau perkhidmatan kepada seramai yang boleh kepada bakal pembeli tanpa halangan geografi, demografi dan komunikasi.
9.0 PENGALAMAN YANG PALING SUKAR DALAM PERNIAGAAN
Pengalaman yang paling sukar dihadapi oleh Masdiana semasa menjalakan perniagaan cendawan ini ialah kurangnya pengeluaran cendawan disebabkan oleh cuaca yang buruk sehingga Masdiana sering menerima kritikan dari pelanggan-pelanggannya. “Masdiana Mushroom” pernah terhenti mengeluarkan cendawan selama dua bulan, disebabkan kerana benih yang disuntik tidak mahu turun, benih putih disekeliling mulut bongkah tetapi seolah-olah tidak mahu melekat pada habuk kayu, menurut Masdiana ini adalah cabaran terbesar baginya selama berkecimpung dalam penanaman cendawan ini. Dalam mengahadapi masalah ini pun masdiana tidak mahu menyerah, dia terus mencari cara agar benih tersebut dapat tumbuh dengan sempurna. Masdiana melakukan tiga kali eksperimen mengenai benih agar dapat tumbuh. Menurut Masdiana peristiwa ini merupakan cabaran terbesar selama dia berkecimpung dalam penanaman cendawan. Masdiana baru menyedari betapa susahnya terjun dalam dunia perniagaan.
Perusahaan cendawan bukanlah semudah yang difikirkan. Sesetengah orang menyangkakan bahawa cendawan boleh tumbuh di mana-mana dan tidak memerlukan penjagaan yang rapi untuk dibiakkan asalkan mendapat sinaran cahaya matahari dan air secukupnya, namun jangkaan tersebut ternyata silap.
Menurut usahawan Masdiana, proses membiakkan cendawan merupakan salah satu cabaran yang paling memerlukan tahap kesabaran yang tinggi di mana dia dan suami terpaksa melakukan sendiri proses menyuntik benih ke dalam medium beg bagi mengelakkan jumlah kerosakkan medium beg secara maksimum.
Menurut Masdiana lagi, pada awalnya mereka juga menganggap bahawa proses tersebut tidak memerlukan penjagaan yang rapi dan memberi kepercayaan kepada beberapa pekerja mereka untuk melakukan proses menyuntik cendawan memandangkan kesibukan jadual harian mereka yang tidak mengizinkan pasangan suami isteri ini untuk meluangkan masa melakukan aktiviti tersebut. Namun akibatnya, lebih separuh dari puluhan ribu medium beg yang disuntik telah rosak dan mengakibatkan kerugian yang besar bagi Masdiana dan suami bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga masa memandangkan permintaan cendawan yang semakin meningkat setiap hari.
Perkara tersebut telah menyebabkan puluhan ribu medium beg terpaksa dikitar semula dengan cara menjualnya kepada penternak cacing. Masdiana beruntung memandangkan penternak cacing sememangnya memerlukan saki baki medium beg yang telah digunakan dan membelinya dengan harga yang berpatutan. Namun, hal ini menjejaskan pengeluaran cendawan memandangkan banyak masa telah terbuang berikutan banyak medium beg yang telah terjejas dan terpaksa dibuat semula.
Pembuatan medium beg adalah terhad memandangkan Masdiana dan suami hanya mempunyai dua perkerja tetap dan penghasilan medium beg hanya mampu mencapai sebanyak 200 – 250 sehari. Dan bagi menggantikan medium beg yang telah tercemar, mereka memerlukan masa yang lebih lama untuk menggantikan medium beg tersebut.
Pasangan suami isteri ini juga terpaksa menahan keringat dan kelemasan apabila terpaksa berkurung di dalam rumah cendawan untuk melakukan proses menyuntik cendawan dimana mereka terpaksa menjaga kebersihan dengan cara memakai pakaian yang betul, menggunakan sarung tangan yang bersih, menutup mulut dan hidung, memakai sarung kepala dan kasut yang bersih, dan pasangan ini menyuntik cendawan dalam keadaan rumah cendawan yang tertutup rapi bagi mengurangkan kerosakan (damage).
Satu lagi musibah yang pernah hampir-hampir menjatuhkan semangat suami isteri ini ialah semasa di awal pembabitan mereka dalam bidang ini, kualiti cendawan yang dihasilkan tidak seperti yang dijangkakan malah permintaan juga tidak memberangsangkan menyebabkan suami Masdiana mengambil keputusan untuk menarik diri dari bidang ini memandangkan dia merasakan bahawa sekiranya beliau meneruskan pembabitannya dalam bidang ini, lebih banyak masa yang akan terbuang memandangkan mereka masing-masing sememangnya sibuk dibebani oleh bebanan kerja seharian mereka.
Namun hasrat itu dibatalkan berkat sokongan dari isteri dan ahli keluarga yang lain, akhirnya suami Masdiana tidak jadi menarik diri dan menyerahkan segala urusan dan aktiviti pemasaran kepada isterinya.
10.0 PENDAPAT “MASDIANA MUSHROOM” TENTANG NILAI LATIHAN UNTUK USAHAWAN
Masdiana dan suami sememangnya merupakan insan yang tidak lokek untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan sentiasa bersedia untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan mereka dalam apa hal atau perkara sekali pun terutama bagi mereka yang ingin berjinak-jinak menternak cendawan.
Buktinya semasa kumpulan kami menyuarakan ingin menjalankan temu ramah dengan Masdiana dan suami mengenai biodata hidup dan pencapaiannya, dan dia tanpa ragu memberikan segala informasi yang diperlukan malah menjemput kumpulan kami untuk melawat ladang cendawannya yang terletak di Kedah. Walaupun menyedari bahawa kumpulan kami tidak memerlukan sebarang butiran lengkap ataupun gambar-gambar cendawan, dia dan suami tetap mengajarkan kumpulan kami mengenai teknik yang betul untuk menternak cendawan menyebabkan kumpulan kami berminat dan terpupuknya semangat yang tinggi dalam diri setiap ahli untuk menjadi seorang pengusaha pertanian suatu hari nanti tanpa perlu mengabaikan pekerjaan sedia ada dan aktiviti dalam kehidupan seharian.
Malahan, dia dan suami juga terlibat dalam memberikan ceramah ataupun kursus-kursus yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu seperti FAMA dalam memberikan latihan dan maklumat kepada masyarakat yang berminat untuk menjadi pengusaha cendawan. Dia juga tidak menolak sekiranya terdapat pelajar-pelajar institusi tinggi mahu pun pelajar sekolah yang mahu melawat dan membuat latihan industri di ladangnya.
Bagi usahawan Masdiana, memberikan latihan dan informasi yang diperlukan kepada orang lain langsung tidak merugikannya malah dia merasakan bahawa perusahaan cendawan perlu dipelopori oleh orang ramai yang berminat memandangkan permintaan yang amat tinggi ketika ini. Menurut usahawan Masdiana juga, sekiranya takut kepada persaingan lebih baik jangan membuka perusahaan kerana bagi dia, lebih ramai pesaing industri cendawan di Malaysia akan menjadi lebih meriah lagi. Oleh sebab itu, hal ini dapat menyemarakkan lagi semangatnya untuk bergerak menuju ke arah matlamat yang lebih jauh.
11.0 NASIHAT YANG DIBERIKAN BAGI MEREKA YANG INGIN MEMULAKAN PERNIAGAAN SENDIRI
Sebelum mengakhiri sesi temu ramah bersama kumpulan kami pada hari itu, Masdiana sempat memberikan galakan dan semangat kepada kami untuk meneruskan segala apa yang kami lakukan walaupun banyak halangan yang menimpa kerana menurutnya tanpa halangan, sesuatu yang dilakukan itu tidak akan memberikan pengaruh yang besar terhadap diri sendiri.
Baginya, minat dan pelajaran semata-mata tidak akan membantu seorang pengusaha berjaya dalam hidup. Apa yang penting ialah semangat dan kecekalan dalam menempuhi apa jua halangan yang menimpa kehidupan setiap individu.
Malah dia dan suami tidak ragu-ragu untuk menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk melakukan perusahaan tidak kira sekiranya perusahaan itu tidak berkaitan dengan apa yang mereka lakukan sekarang ini kerana baginya semua ilmu yang dituntut di muka bumi ini pasti berguna untuk melakukan apa jua pekerjaan. Masdiana dan suami berulang kali menerapkan kepada kumpulan kami bahawa tanpa semangat dan kecekalan yang teguh, biar tinggi mana pun tahap pendidikan dan kewangan yang dimiliki oleh mana-mana individu tidak akan mencapai ke mana-mana.
13.0 RUJUKAN
http://www.masdianamushroom.blogspot.com/
http://www.mmra.org.my/

